Huraikan peranan dan pelaksanaan Baitulmal yang diamalkan pada zaman Khulafa al-Rasyidin

Pengenalan

Baitulmal merupakan institusi kewangan yang berfungsi menyelenggarakan harta umum. Tujuan penubuhannya ialah untuk meningkatkan perkembangan ekonomi Negara disamping menyediakan kemudahan asas dan juga membasmi kemiskinan. Pembahagian harta ini ditentukan secara adil berdasarkan prinsip Islam. Penubuhan baitulmal sebenarnya bermula pada zaman Khalifah Umar al-Khatab dan dipertingkatkan pelaksanaannya sepanjang zaman Khulafa al-Rasyidin.

Isi

Penubuhan Baitulmal pada asalnya dicadangkan oleh Khalid al-Walid berikutan Islam berkembang dengan pesat dan banyak wilayah baru serta harta rampasan perang diperolehi pada zaman Umar al-Khatab. Cadangan Khalid agar menubuhkan Diwan atau Perbendaharaan Negara diterima oleh Khalifah Umar. Pusat pentadbiran Baitulmal pada peringkat awalnya terletak di kota Madinah manakala wilayah-wilayah naungan Kerajaan Islam pula terdapat cawangan-cawangan baitulmal bagi tujuan penyelarasan. Sumber kewangan diperolehi daripada beberapa sumber seperti zakat, kharaj, jizyah, ghanimah, al-fay dan usyur.

Zakat dikenakan kepada semua penduduk Islam. Tujuan zakat ialah membantu golongan fakir, muallaf, miskin, amil, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, musafir, orang yang berhutang dan untuk jalan Allah. Lebihan kutipan zakat akan disimpan di Baitulmal dan digunakan untuk pembangunan dan kebajikan awam.

Kharaj pula merupakan cukai tanah yang dikenakan kepada semua pemilik tanah di wilayah-wilayah taklukan Kerajaan Islam. Kadar yang dikenakan ialah sebanyak 10 peratus. Bagi orang-orang bukan Islam yang tinggal di bawah naungan Kerajaan Islam atau mempunyai perjanjian perdamaian dengan negara Islam, mereka dikenakan cukai Jizyah atau cukai perlindungan. Kadar cukai yang dikenakan ialah sebanyak 12 hingga 48 dirham. Hanya mereka yang akil baligh, berupaya, masih hidup dan mereka yang merdeka dikenakan cukai ini.

Ghanimah merupakan harta rampasan perang, manakala al-fay ialah harta rampasan tanpa perang, harta peninggalan orang mati yang tiada pewarisnya dan harta karun. Sebanyak 1/5 daripada harta ghanimah dan al-fay diperuntukkan kepada kerajaan pusat di Madinah. Harta yang selebihnya diberikan kepada tentera yang terlibat dalam peperangan.

Bagi golongan peniaga pula dikenakan usyur atau cukai perniagaan. Cukai ini dikenakan kepada semua peniaga samada peniaga Islam atau bukan Islam. Bagi kafir Harbi dikenakan sebanyak 10 peratus. Mereka ini tidak ada perjanjian damai dengan Negara Islam. Bagi Kafir Zimmi pula yang bernaung di bawah kerajaan Islam, cukai yang dikenakan hanya 5 peratus. Bagi orang Islam pula cukai yang dikenakan sebanyak 2.5 peratus. Cukai usyur dikenakan apabila cukup nisabnya iaitu sebanyak 200 dirham.

Pelaksanaan Baitulmal pada zaman khalifah Umar agak ketat. Beliau melarang tentera Islam memiliki tanah dan rumah-rumah sebagai harta rampasan perang. Kaum muslimin juga dilarang memiliki tanah di nagara jajahan. Beliau hanya membenarkan pemilik asal tanah jajahan takluk mengusahakannya. Sebagai ganti, tentera muslimin diberi elaun atau gaji daripada baitulmal.

Jika seorang zimmi memeluk Islam, tanah miliknya akan diambil dan dibahagikan kepada penduduk negaranya. Elaun dan gaji mereka telah ditetapkan daripada baitulmal. Tindakan yang dibuat oleh Khalifah Umar ini sebenarnya bagi melindungi penduduk tempatan mendapat sumber pendapatan mereka sendiri. Tentera Islam pula dilarang memiliki tanah bagi mengelakkan daripada perselisihan soal tanah. Factor inilah yang membawa kepada kejayaan pemerintahan Umar al-Khatab.

Pada zaman Khalifah Uthman al-Affan, pelaksanaan baitulmal dikatakan tidak berjalan dengan baik. Beliau dituduh meyalahgunakan harta baitulmal untuk kepentingan sendiri dan keluarga. Tuduhan tersebut sebenarnya tidak benar kerana beliau dikenali sebagai seorang hartawan dan dermawan sejak zaman Jahiliah lagi. Pada hakikatnya, khalifah Uthman terpaksa mengerahkan rakyatnya membayar cukai lebih bagi menampung perbelanjaan tertentu. Misalnya beliau memperkukuhkan angkatan tentera laut bagi menghadapi serangan musuh. Ini memerlukan perbelanjaan besar.

Beliau juga mengambil keputusan agar tidak mengagihkan harta rampasan perang memandangkan keadaan ekonomi Negara yang agak lembab ketika itu. Ini adalah berikutan daripada aktiviti perluasan pembukaan kawasan baru agak perlahan pada ketika itu

Pelaksanaan Baitulmal pada zaman khalifah Ali juga berjalan dengan baik seperti yang disyariatkan. Khalifah Ali telah menjalankan tugasnya dengan jujur. Beliau tidak pernah menggunakan harta baitulmal untuk kepentingan dirinya sendiri walaupun beliau disarankan oleh rakan-rakannya dalam menghadapi tentangan Muawiyah bin Abi Suffian.

Keadaan ini jelas membuktikan bahawa pelaksanaan Baitulmal berjalan dengan baik pada zaman Khulafa al-Rasyidin berdasarkan syariat yang ditetapkan dan tidak berlaku penyelewengan.

Kesimpulan

Dari penerangan diatas jelas sekali baitulmal memainkan peranan penting kepada perkembangan ekonomi Negara. Pelaksanaan Baitulmal zaman Khulafa al-Rasyidin merupakan asas kepada perkembangan ekonomi Negara Islam pada zaman selepasnya.

0 comments:

Post a Comment